Penggunaan Teknik Permainan Detektif Sains Untuk Membantu meningkatkan Kefahaman dan Minat Murid tahun 4 Dalam Topik Sifat Bahan

  • Published on
    07-Dec-2015

  • View
    13

  • Download
    0

DESCRIPTION

Artikel Penyelidikan Tindakan Sains Tahun 2015

Transcript

PENGGUNAAN TEKNIK PERMAINAN DETEKTIF SAINS UNTUK MEMBANTU MENINGKATKAN KEFAHAMAN DAN MINAT MURID TAHUN EMPAT DALAM TOPIK SIFAT BAHAN

Imelda Josephimeldajsf92@gmail.comZainab binti Itamzainabitam@gmail.com

Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang

AbstrakPenyelidikan tindakan ini bertujuan untuk mengenalpasti sejauh mana penggunaan teknik permainan Detektif Sains membantu meningkatkan kefahaman dan minat murid tahun 4 dalam topik Sifat Bahan. Kumpulan sasaran terdiri daripada 20 orang murid Tahun 4 yang berpencapaian rendah dan sederhana dalam subjek Sains di sebuah sekolah rendah di sekitar kawasan Nibong Tebal, Pulau Pinang. Penyelidikan tindakan ini dijalankan selama 12 minggu dan permainan Detektif Sains telah dilaksanakan sebanyak 2 kali dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Tiga instrumen pengumpulan data telah dipilih iaitu praujian dan pascaujian, soal selidik dan temu bual. Praujian dan pascaujian digunakan untuk mengumpul data bagi mengukur tahap kefahaman murid, manakala soal selidik dan temu bual digunakan untuk mengumpul data bagi aspek kefahaman dan minat murid. Data yang diperoleh dari praujian dan pascaujian dianalisis dengan mengira peratus dan nilai min kemudian diterjemahkan dalam bentuk carta bar. Soal selidik pula dianalisis dengan mengira frekuensi dan peratus yang dipersembahkan dalam bentuk jadual manakala temu bual pula dianalisis dengan melakukan pengelasan data secara bertema dan dipersembahkan dalam bentuk jadual. Min praujian ialah 62.65 dan min pascaujian ialah 81.20. Peningkatan nilai min adalah sebanyak 18.55. Data soal selidik menunjukkan lebih 90% murid bersetuju bahawa permainan Detektif Sains membantu meningkatkan kefahaman dan minat mereka dalam topik Sifat Bahan. Data temu bual pula menunjukkan bahawa majoriti murid memberikan respon positif. Ini menunjukkan murid bersetuju bahawa teknik permainan Detektif Sains telah meningkatkan kefahaman dan minat mereka dalam topik Sifat Bahan. Implikasi daripada dapatan ini menunjukkan bahawa teknik permainan Detektif Sains telah membantu meningkatkan kefahaman dan minat murid Tahun 4 dalam topik Sifat Bahan.

KonteksUsaha mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif merupakan salah satu daripada tunjang untuk merealisasikan matlamat wawasan 2020. Berfokus kepada tunjang tersebut, sistem pendidikan negara memerlukan satu lonjakan transformasi yang mapan bagi melaksanakan dasar kerajaan untuk mencapai status negara maju (Abdul Said Ambotang, 2013). Oleh itu, sistem pendidikan yang dilaksanakan haruslah mampu membentuk insan yang bukan sahaja berpengetahuan luas dalam bidang sains tetapi mampu menggunakan pengetahuan tersebut untuk menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara. Namun begitu, kegagalan murid untuk memahami konsep sains serta kekurangan minat terhadap mata pelajaran Sains menyebabkan matlamat ini sukar direalisasikan. Mohamad Abdillah Royo & Haleefa Mahmood (2011) menyatakan bahawa kesan minat seseorang memainkan peranan yang sangat besar untuk menentukan kejayaannya dalam bidang yang diceburi. Sazali Kenit (2007) pula menyatakan bahawa pengajaran guru merupakan salah satu faktor utama yang mempengaruhi pencapaian pelajar. Menurut beliau, cara pengajaran seseorang guru harus berupaya meningkatkan minat dan kefahaman murid terhadap pembelajaran. Gaya pengajaran yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan yang amat penting terhadap peningkatan minat dan kefahaman murid dalam subjek Sains. Seseorang guru Sains harus berusaha mengaplikasikan pelbagai kaedah pengajaran yang mampu menimbulkan minat sekaligus meningkatkan kefahaman murid dalam subjek Sains. Justeru itu, kajian ini telah dilaksanakan untuk meningkatkan kefahaman dan minat murid tahun 4 dalam topik Sifat Bahan menggunakan teknik permainan Detektif Sains.

Fokus KajianKajian penyelidikan ini berfokus kepada penggunaan teknik permainan Detektif Sains dalam meningkatkan kefahaman dan minat murid tahun 4 dalam topik Sifat Bahan. Masalah yang dihadapi oleh murid adalah mereka tidak dapat memahami konsep-konsep yang terdapat dalam topik Sifat Bahan seperti keapungan, sifat bahan yang kalis air dan menyerap air. Mereka juga mengalami masalah untuk mengaitkan konsep sifat bahan yang dipelajari dengan situasi sebenar dalam kehidupan seharian. Selain itu, murid-murid juga tidak bekerjasama dalam kumpulan, bersikap pasif serta menunjukkan reaksi tidak berminat terhadap aktiviti ujikaji ringkas yang dijalankan di dalam kelas. Masalah ini mungkin berpunca daripada pendekatan pengajaran yang dilaksanakan oleh guru kurang sesuai dengan minat dan kecenderungan murid. Pelaksanaan aktiviti ujikaji sering dilaksanakan dengan cara yang lazim menyebabkan murid berasa bosan dan kurang berminat dengan aktiviti tersebut. Selain itu, aktiviti yang memerlukan murid untuk mengaplikasikan teori dan konsep yang dipelajari dalam topik Sifat Bahan untuk menyelesaikan masalah yang berkait rapat dengan kehidupan seharian jarang diadakan semasa aktiviti pembelajaran berlangsung menyebabkan murid sukar untuk memahami topik ini dengan lebih komprehensif. Ee (2006) mendefinisikan aktiviti permainan sebagai aktiviti yang dijalankan secara spontan untuk memberikan kepuasan kepada individu tanpa disekat oleh alam sekitarnya. Menurut Froebel (dalam Vickerius & Sandberg, 2006) kerja, bermain dan belajar adalah satu unit dalam pendidikan awal kanak-kanak. Oleh itu, integrasi bermain sambil belajar menjadikan proses pembelajaran murid lebih menyeluruh dan berkesan. Aplikasi teknik permainan Detektif Sains adalah bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan minat murid dalam topik Sifat Bahan. Kajian ini disokong oleh Frobose (2008) yang menyatakan bahawa aktiviti bermain memudahkan murid untuk menyerap dan memahami sesuatu perkara yang diajarkan. Selain itu, Zakiah Mohamad Ashari, Azlina Mohd Kosnin & Yeo (2010) juga menyatakan bahawa minat dan sikap kanak-kanak untuk belajar tentang sesuatu yang belum diketahui adalah sangat tinggi ketika bermain.

Pelan TindakanObjektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti sama ada penggunaan teknik permainan Detektif Sains membantu meningkatkan kefahaman dan minat murid tahun empat dalam topik Sifat Bahan. soalan kajian adalah bolehkah teknik permainan Detektif Sains meningkatkan kefahaman murid tahun empat dalam topik Sifat Bahan dan adakah teknik permainan Detektif Sains dapat meningkatkan minat murid tahun empat dalam topik Sifat Bahan. Kumpulan sasaran yang terlibat dalam kajian ini terdiri daripada 20 orang murid tahun 4 yang terdiri daripada 9 orang murid lelaki dan 11 orang murid perempuan. Murid-murid ini mempunyai rekod pencapaian yang rendah dan sederhana dalam subjek Sains. Pelaksanaan Pelan TindakanTempoh kajian ini adalah selama 12 minggu. Perkara pertama yang dilakukan adalah menentukan isu kajian. Isu yang telah dikenal pasti adalah berdasarkan pengalaman praktikum yang lalu dan juga melalui pemerhatian selama hampir dua minggu di sekolah ini. Tajuk dan fokus kajian telah ditentukan pada minggu ketiga. Pada minggu ketiga hingga minggu keempat, tinjauan literatur berkaitan dengan isu kajian dibuat dengan merujuk kepada pelbagai sumber yang relevan. Instrumen pengumpulan data yang sesuai ditentukan dan dibina pada minggu yang kelima. Instrumen yang dibina bertujuan untuk menilai sejauh mana teknik yang dilaksanakan berkesan untuk meningkatkan kefahaman dan minat murid dalam topik Sifat Bahan. Praujian telah dijalankan pada minggu keenam. Selepas praujian dilaksanakan, aktiviti pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknik permainan Detektif Sains dijalankan pada minggu ketujuh. Permainan Detektif Sains dijalankan sebanyak dua kali dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dalam minggu yang sama. Sesi pertama berfokus kepada sifat terapung dan tenggelam manakala sesi yang kedua berfokus kepada sifat kalis air dan menyerap air. Permainan Detektif Sains dijalankan dalam bentuk stesen. Permainan ini memerlukan murid bergerak dan bekerja dalam kumpulan untuk menyelesaikan pelbagai jenis tugasan berbentuk puzzle, hands-on atau pun dengan menyelesaikan lembaran kerja yang diberi pada stesen-stesen tertentu. Sebelum memulakan permainan, setiap kumpulan akan diberikan cerita mengenai satu kes kecurian dan mereka akan bertindak sebagai detektif bagi menyelesaikan kes tersebut. Setiap kumpulan perlu menyelesaikan tugasan yang diberi pada setiap stesen untuk mendapatkan maklumat mengenai kes kecurian yang disiasat. Pasca ujian, temu bual dan soal selidik telah dijalankan selepas dua sesi permainan Detektif Sains tamat iaitu pada minggu kelapan dan kesembilan. Pada minggu kesepuluh dan kesebelas, maklumat dan data yang diperoleh dianalisis dan diinterpretasikan dengan terperinci. Setelah proses analisis dan interpretasi selesai, refleksi dan rumusan dapatan kajian dibuat bagi menilai sejauh mana kajian yang telah dilaksanakan mencapai objektif dan menjawab soalan kajian yang telah dikemukakan sebelum ini. Cadangan kajian lanjutan bagi memantapkan lagi hasil kajian yang telah diperoleh dibuat pada minggu kedua belas.

Kaedah Pengumpulan DataDalam penyelidikan tindakan ini, tiga instrumen pengumpulan data telah dipilih iaitu praujian dan pascaujian, soal selidik dan temu bual. Ketiga-tiga instrumen ini dipilih bagi mendapatkan triangulasi data supaya kesahan dan kebolehpercayaan data dapat ditingkatkan. Praujian dan pascaujian digunakan untuk mengukur kefahaman murid dalam topik Sifat Bahan. Praujian dan pascaujian yang dijalankan merangkumi 10 soalan objektif dan 1 soalan subjektif yang dipecahkan kepada 3 pecahan soalan. Murid diberikan masa selama 30 minit untuk menjawab semua soalan. Data ujian akan dianalisis secara kuantitatif. Skor praujian dan pascaujian bagi setiap murid akan dikira dalam bentuk peratus dan akan diklasifikasikan kepada gred A (cemerlang), B (baik), C (sederhana) , D (lemah) , E (tidak menguasai) dan F (gagal). Peningkatan peratus dan min bagi kedua-dua ujian akan dikira dan direkodkan di dalam jadual. Bilangan murid mengikut gred pencapaian praujian dan pascaujian dikira bagi membuat perbandingan pencapaian murid dalam kedua-dua ujian tersebut. Data kemudian diterjemahkan dalam bentuk carta bar. Instrumen soal selidik digunakan untuk mendapatkan data mengenai aspek kefahaman dan minat murid. Instrumen soal selidik diedarkan kepada 20 orang murid selepas pascaujian dilaksanakan. Borang soal selidik dibina menggunakan soal selidik jenis skala likert 4 mata. Skala likert bermula dengan sangat tidak setuju (STS) = 1, Tidak Setuju (TS)=2, Setuju (S)=3 dan Sangat Setuju (SS)= 4. Murid menjawab dengan menanda pada skala yang sesuai berdasarkan soalan yang diberi. Item 1 hingga 6 pada borang soal selidik digunakan untuk mengukur aspek minat murid manakala item 7 hingga 10 digunakan untuk mengukur aspek kefahaman murid. Murid diberikan masa selama 20 minit untuk mengisi borang soal selidik. Dapatan yang diperoleh dianalisis secara kuantitatif dengan mengira frekuensi dan peratusan murid yang memilih setiap item dalam soal selidik. Data yang diperoleh seterusnya dipersembahkan dalam bentuk jadual dan dikategorikan mengikut tema.Soalan temu bual digunakan untuk mengumpul data mengenai tahap minat dan kefahaman murid dalam topik Sifat Bahan selepas menggunakan teknik permainan Detektif Sains dalam sesi pengajaran. Sebanyak 5 soalan diberikan kepada 5 orang murid yang menunjukkan peratus peningkatan skor pascaujian yang tertinggi. Soalan 1 hingga 3 merupakan soalan mengenai aspek minat murid manakala soalan 4 dan 5 merupakan soalan mengenai aspek kefahaman murid. Sesi temu bual dijalankan secara tidak formal bagi menggalakkan murid untuk memberikan pandangan yang bebas mengenai soalan yang diajukan kepada mereka. Sesi temu bual direkod menggunakan alat perakam audio bagi mengelakkan maklumat tercicir serta memudahkan proses transkripsi. Data yang diperoleh seterusnya ditranskripsi dan dianalisis secara kualitatif untuk mendapat gambaran keseluruhan mengenai minat dan kefahaman murid dalam topik Sifat Bahan setelah permainan Detektif Sains dilaksanakan. Hasil temu bual yang diperihalkan semula dikategorikan mengikut tema dan dipersembahkan dalam bentuk jadual bagi memudahkan perbandingan pola jawapan setiap murid bagi setiap item temu bual.

Dapatan Kajian dan Perbincangana) Analisis Praujian dan Pascaujian Praujian dijalankan ke atas murid bagi mengenal pasti pengetahuan sedia ada murid mengenai topik Sifat Bahan. Setelah dua sesi pengajaran dan pembelajaran dalam topik Sifat Bahan dijalankan dengan menggunakan teknik Permainan Detektif Sains, pascaujian dilaksanakan bagi menilai keberkesanan penggunaan teknik ini untuk meningkatkan kefahaman dan minat murid dalam topik ini. Peratus markah dan gred bagi praujian dan pascaujian setiap murid dikira dan direkodkan.

Jadual 1 Bilangan murid mengikut julat markah (%) dan kategori bagi praujian dan pascaujian (N=20)

GredJulat markah (%)KategoriBilangan murid

PraujianPascaujian

A85-100Cemerlang110

B70-84Baik47

C60-69Sederhana73

D50-59Lemah50

E40-49Tidak menguasai30

F1-39Gagal 00

Hasil analisis data pada Jadual 1 menunjukkan terdapat peningkatan yang ketara dalam bilangan murid yang mencapai kategori cemerlang dan baik pada pascaujian berbanding dengan praujian. Seramai 10 orang murid berjaya mencapai gred A (cemerlang) dalam pascaujian berbanding dengan hanya seorang dalam praujian manakala bilangan murid yang mendapat gred B (baik) dalam praujian telah meningkat daripada 4 orang pada praujian kepada 7 orang dalam pascaujian. Hal ini menunjukkan bahawa tahap kefahaman murid terhadap topik Sifat Bahan telah meningkat selepas teknik permainan Detektif Sains dilaksanakan.Bilangan murid yang berada di bawah kategori sederhana, lemah dan tidak menguasai dalam praujian menurun dalam pascaujian. Bilangan murid yang mendapat gred C (sederhana) pada praujian iaitu seramai 7 orang menurun kepada hanya 3 orang pada pascaujian manakala jumlah murid yang mencatatkan gred D (lemah) dan E (tidak menguasai) mencatatkan rekod sifar. Peningkatan bilangan murid dalam kategori cemerlang dan baik serta penurunan bilangan murid dalam kategori sederhana, lemah dan tidak menguasai memberi gambaran bahawa penggunaan teknik permainan Detektif Sains ini telah berjaya membantu dalam meningkatkan tahap kefahaman murid dalam topik Sifat Bahan. Data dalam jadual 2 diterjemakan dalam bentuk graf bar seperti dalam rajah 1 untuk menunjukkan perbandingan bilangan murid mengikut gred dalam praujian dan pascaujian.

Rajah 1 Bilangan murid mengikut gred dalam praujian dan pascaujian

Nilai min bagi praujian dan pascaujian dikira bagi membuat perbandingan nilai min untuk kedua-dua ujian. Jadual 2 Perbandingan nilai min bagi praujian dan pascaujian (N=20)Nilai min praujianNilai min pascaujianPeningkatan nilai min

62.6581.2018.55

Berdasarkan jadual 2, peningkatan nilai min antara praujian dan pascaujian adalah sebanyak 18.55 iaitu daripada 62.65 kepada 81.20. Peningkatan ini menunjukkan bahawa penggunaan teknik permainan Detektif Sains dalam pembelajaran topik Sifat Bahan telah membantu meningkatkan kefahaman murid.

b) Analisis Soal SelidikBorang soal selidik yang mengandungi 10 item diedarkan kepada 20 orang murid. 6 item yang pertama pada borang soal selidik digunakan untuk mendapatkan data mengenai aspek minat murid manakala 4 item yang seterusnya digunakan untuk mendapatkan data mengenai aspek kefahaman murid. Data yang diperoleh seterusnya dianalisis dengan mengira peratus dan frekuensi bagi setiap item yang terlibat. Peratus dan frekuensi murid yang memilih skala Sangat Tidak Setuju (STS), Tidak Setuju (TS), Setuju (S) dan Sangat Setuju (SS) dikategorikan mengikut tema minat dan kefahaman murid. Jadual 3 Frekuensi (f) dan peratus (%) murid bagi respon setiap item bertemakan minat (N=20)NoItemSTSTSSSS

f (%)f (%)f (%)f (%)

1Aktiviti belajar sambil bermain permainan Detektif Sains membuatkan saya berasa gembira ketika belajar topik Sifat Bahan.0 (0)0 (0)2 (10)18 (90)

2Saya berasa seronok bekerja dengan ahli kumpulan saya semasa bermain permainan Detektif Sains.0 (0)0 (0)7 (35)13 (65)

3Saya mengambil bahagian dalam setiap aktiviti sains walaupun tanpa permainan Detektif Sains0 (0)18 (90)2 (10)0 (0)

4Saya berasa gembira apabila kumpulan saya berjaya menyelesaikan tugasan semasa bermain permainan Detektif Sains.0 (0)1 (5)8 (40)11 (55)

5Saya berusaha menyiapkan tugasan dengan bersungguh-sungguh semasa bermain permainan Detektif Sains0 (0)0 (0)9(45)11 (55)

6Saya berminat untuk bermain permainan Detektif Sains semasa belajar topik yang lain0 (0)0 (0)4 (20)16 (80)

Nota: STS=Sangat Tidak Setuju, TS=Tidak Setuju, S=Setuju, SS=Sangat SetujuBerdasarkan jadual 3, majoriti murid memilih skala Sangat Setuju bagi item 1 dan 2. Tiada murid yang memilih skala Tidak Setuju dan Sangat Tidak Setuju bagi kedua-dua item ini. Hal ini menunjukkan bahawa kesemua murid bersetuju bahawa permainan Detektif Sains menimbulkan keseronokan untuk belajar topik Sifat Bahan. Data ini juga menunjukkan bahawa kesemua murid bersetuju bahawa mereka berasa seronok bekerja dalam kumpulan masing-masing semasa bermain permainan Detektif Sains. Perasaan seronok bukan sahaja menggalakkan murid untuk memberi kerjasama ketika bekerja secara berkumpulan malah menimbulkan minat murid untuk belajar. Hasil respon murid bagi item 3 menunjukkan bahawa masalah murid yang pasif semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran Sains di dalam kelas dapat diatasi dengan pelaksanaan teknik permainan Detektif Sains. Seramai 18 orang murid (90%) tidak bersetuju bahawa mereka mengambil bahagian dalam aktiviti Sains di dalam bilik darjah walaupun tanpa permainan Detektif Sains. Hal ini menunjukkan bahawa pelaksanaan teknik pembelajaran ini telah meransang murid untuk terlibat lebih aktif dalam aktiviti Sains yang dijalankan di dalam kelas. Penglibatan murid yang aktif dalam aktiviti pembelajaran menunjukkan murid lebih berminat untuk belajar selepas teknik permainan Detektif Sains dilaksanakan.Melalui pelaksanaan teknik permainan Detektif Sains, murid berasa gembira jika kumpulan mereka berjaya menyelesaikan tugasan yang diberi dan mereka juga lebih bersungguh-sungguh untuk menyiapkan tugasan tersebut. Hal ini disokong oleh dapatan soal selidik bagi item 4 dan 5. Majoriti murid iaitu sebanyak 19 orang (95%) bersetuju bahawa mereka lebih gembira menyelesaikan tugasan semasa bermain permainan Detektif Sains manakala kesemua murid bersetuju bahawa mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan tugasan yang diberi semasa bermain permainan ini. Hal ini menunjukkan bahawa permainan Detektif Sains yang dilaksanakan telah meningkatkan minat murid untuk belajar.Melalui item 6, kesemua murid (100%) berminat untuk bermain permainan Detektif Sains semasa belajar topik Sains yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa permainan Detektif Sains yang dilaksanakan berjaya menarik minat murid untuk belajar. Hasil dapatan menunjukkan hampir keseluruhan murid dalam kelas tersebut bersetuju bahawa permainan Detektif Sains membantu dalam meningkatkan minat mereka untuk mempelajari topik Sifat Bahan. Dari aspek kefahaman, sebanyak 4 item soal selidik telah dikemukakan. Analisis borang soal selidik bagi aspek kefahaman adalah seperti dalam jadual 4.Jadual 4 Frekuensi (f) dan peratus (%) murid bagi respon setiap item bertemakan kefahaman (N=20)

NoItemSTSTSSSS

f (%)f (%)f (%)f (%)

7Saya mampu mengingati sifat-sifat bahan walaupun tidak bermain permainan Detektif Sains7( 35)12 (60)1 (5)0 (0)

8Saya boleh menyenaraikan sifat-sifat sesuatu objek dengan lebih baik selepas bermain permainan Detektif Sains 0 (0)0 (0)8 (40)12 (60)

9Permainan Detektif Sains membantu saya memahami topik Sifat Bahan dengan lebih baik.0 (0)0 (0)6 (30)14 (70)

10Saya dapat menjawab soalan mengenai topik Sifat Bahan yang diberi walaupun tidak bermain permainan Detektif Sains12 (60)8 (40)0 (0)0 (0)

Nota: SS-Sangat setuju, S-Setuju, TS-Tidak setuju, STS-Sangat tidak setujuBerdasarkan data yang diperoleh dalam item 7, hanya seorang murid (5%) yang bersetuju bahawa dia mampu mengingat sifat-sifat bahan walaupun tidak bermain permainan Detektif Sains manakala sebanyak 19 orang (95%) tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa permainan Detektif Sains yang telah dilaksanakan membantu murid mengingati sifat-sifat bahan dengan lebih baik. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan dapatan pada item 8 yang menunjukkan bahawa kesemua murid (100%) bersetuju bahawa mereka mampu menyenaraikan sifat-sifat sesuatu objek dengan lebih baik selepas bermain permainan Detektif Sains. Perkara ini menunjukkan bahawa kefahaman murid dalam topik Sifat Bahan dapat ditingkatkan melalui pelaksanaan teknik permainan Detektif Sains. Hal ini disokong oleh dapatan pada item 9 yang menunjukkan bahawa semua murid (100%) bersetuju bahawa mereka dapat memahami topik Sifat Bahan dengan lebih baik selepas bermain permainan Detektif Sains.Bagi item 10, semua murid tidak bersetuju bahawa mereka dapat menjawab soalan walaupun tidak bermain permainan Detektif Sains. Hal ini menunjukkan bahawa teknik permainan ini telah membantu murid meningkatkan kefahaman mereka dalam topik Sifat Bahan sekaligus membantu mereka menjawab soalan-soalan berkaitan topik ini dengan lebih baik. Secara keseluruhan, hasil dapatan menunjukkan bahawa permainan Detektif Sains telah membantu meningkatkan kefahaman murid dalam topik Sifat Bahan. c) Analisis Temu bualTemu bual yang dijalankan adalah bertujuan untuk mendapatkan maklumat tentang respon terhadap pelaksanaan permainan Detektif Sains dalam meningkatkan kefahaman dan minat murid dalam tajuk Sifat Bahan. Temu bual telah dijalankan ke atas 5 orang murid yang menunjukkan peningkatan pencapaian pascaujian yang tertinggi berbanding dengan praujian. Murid yang ditemu bual telah dikodkan sebagai R1, R2, R3, R4, R5. Temu bual bersama murid ditranskripkan dan dianalisis mengikut tema dan direkodkan ke dalam jadual. Jadual 5 Analisis temu bual mengikut temaTema & FokusSoalanDapatan

Minat(Perasaan)Apakah perasaan anda ketika belajar topik Sifat Bahan sambil bermain permainan Detektif Sains di dalam kelas?Suka, seronok, gembira

Minat(persepsi)Adakah aktiviti permainan Detektif Sains membuat anda lebih bersemangat untuk belajar topik Sifat Bahan? Mengapa? Permainan Detektif Sains meningkatkan semangat utuk belajar

Minat(perasaan belajar tanpa permainan Detektif Sains)Adakah anda suka mempelajari topik Sifat Bahan walaupun tanpa permainan Detektif Sains?Tidak suka

Kefahaman( kebolehan mengingati Sifat Bahan)Adakah permainan Detektif Sains dapat membantu anda mengingati sifat-sifat bahan dengan lebih baik?mengapa?Membantu mengingati Sifat-sifat bahan dengan lebih baik.

Kefahaman(Penguasaan topik tanpa permainan Detektif Sains)Adakah anda dapat memahami topik Sifat Bahan dengan baik walaupun tidak bermain permainan Detektif Sains?Tidak dapat menguasai

Bagi tema minat murid, apabila ditanya mengenai perasaan mereka ketika belajar sambil bermain permainan Detektif Sains, semua murid yang ditemu bual memberikan jawapan positif seperti suka, gembira dan seronok. Maklumat ini menunjukkan bahawa teknik permainan Detektif Sains telah berjaya menarik minat murid untuk mempelajari topik Sifat Bahan. Apabila murid berminat untuk belajar, tingkah laku bermasalah di dalam kelas seperti bosan dan mengantuk dapat diatasi. Perkara ini diperkukuhkan dengan jawapan murid seperti berikut:R2:Saya happy sangat..tak bosan punR5:Saya rasa seronok..tak ngantok (Temu bual pada 30 April, 2015) Bagi soalan temu bual yang kedua di bawah tema minat murid, apabila ditanya sama ada permainan Detektif Sains membuatkan mereka lebih bersemangat untuk belajar, semua murid menunjukkan respon positif. Antara faktor yang menambah semangat murid untuk belajar adalah persaingan sihat antara kumpulan, sistem gerak kerja berkumpulan dan juga perasaan ingin tahu mengenai cerita detektif yang diketengahkan semasa permainan dijalankan.

Perkara ini disokong dengan maklum balas murid seperti berikut:R3:Ya. Sebabboleh buat aktiviti dengan kawan-kawan.. nak tau cerita detektif tu(Temu bual pada 30 April, 2015)Sikap murid yang bersemangat ketika belajar menunjukkan bahawa permainan Detektif Sains telah berjaya menimbulkan minat murid untuk belajar topik Sifat Bahan.Bagi item temu bual yang ketiga yang bertemakan minat, apabila murid ditanya sama ada mereka suka belajar topik Sifat Bahan walaupun tanpa permainan Detektif Sains, respon semua murid menunjukkan mereka lebih suka belajar sambil bermain Permainan Detektif Sains berbanding dengan pembelajaran tanpa permainan ini. Hal ini diperkukuhkan dengan jawapan murid seperti berikut:R1: Suka juga..tapi kalau belajar sambil bermain lagi seronok (Temu bual pada 30 April, 2015) Secara keseluruhannya, maklum balas semua murid yang ditemu bual menunjukkan respon positif bahawa teknik Detektif Sains telah berjaya menimbulkan minat mereka untuk belajar topik Sifat Bahan.Bagi item soalan temu bual di bawah tema kefahaman, semua murid yang ditemu bual bersetuju bahawa permainan Detektif Sains telah membantu mereka mengingati sifat-sifat bahan dengan lebih baik. Jika murid dapat mengingati sifat-sifat bahan dengan lebih baik, secara tidak langsung kefahaman mereka mengenai topik juga ditingkatkan. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam transkrip jawapan temu bual murid seperti berikut:R4: Ya. Sebab kalau salah kawan-kawan tolong betulkan.. (Temu bual pada 30 April, 2015) Melalui soalan temu bual yang kedua yang bertemakan kefahaman murid, dapat disimpulkan bahawa teknik permainan Detektif Sains membantu untuk meningkatkan kefahaman murid dalam topik Sifat Bahan. Hasil daripada temu bual yang dijalankan, semua murid tidak bersetuju bahawa mereka dapat memahami topik Sifat Bahan dengan baik walaupun tidak bermain permainan Detektif Sains. Hal ini menunjukkan bahawa permainan Detektif Sains telah membantu meningkatkan kefahaman murid dalam topik Sifat Bahan.Berdasarkan dapatan temu bual yang dijalankan, dapat disimpulkan bahawa penggunaan teknik permainan Detektif Sains telah membantu meningkatkan minat dan kefahaman murid tahun 4 dalam topik Sifat Bahan. Refleksi dan ImplikasiBerdasarkan kajian penyelidikan yang telah dijalankan, dapat disimpulkan bahawa penggunaan teknik permainan Detektif Sains dapat meningkatkan kefahaman dan minat murid tahun empat dalam topik Sifat Bahan. Dari aspek kefahaman, selepas teknik permainan Detektif Sains dilaksanakan, majoriti murid berjaya mencapai kategori cemerlang dan tiada murid yang berada dalam kategori lemah dan tidak menguasai. Perkara ini disokong dengan peningkatan nilai min praujian dan pascaujian iaitu sebanyak 18.55. Hal ini menunjukkan bahawa permainan Detektif Sains telah berjaya membantu meningkatkan kefahaman murid dalam topik Sifat Bahan. Selain itu, data soal selidik menunjukkan semua murid bersetuju bahawa teknik permainan Detektif Sains yang telah dilaksanakan membantu mereka memahami topik Sifat Bahan dengan lebih baik. Melalui temu bual yang telah dijalankan, semua murid bersetuju bahawa permainan Detektif Sains telah membantu mereka memahami topik Sifat Bahan dengan lebih baik. Dari segi minat murid, hasil dapatan menunjukkan bahawa permainan Detektif Sains juga berjaya meningkatkan minat murid dalam topik Sifat Bahan. Daripada data soal selidik yang yang dijalankan, sebahagian besar murid bersetuju bahawa permainan Detektif Sains membuatkan mereka lebih bersungguh-sungguh, gembira dan seronok semasa belajar topik Sifat Bahan. Hal ini menunjukkan bahawa permainan Detektif Sains berjaya menimbulkan perasaan positif murid dalam bilik darjah. Perasaan positif yang dipupuk dapat membantu meningkatkan minat murid dalam pembelajaran sekaligus melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran (Abbott, 2014). Dapatan dikukuhkan lagi dengan data temu bual yang telah dijalankan ke atas 5 orang murid. Secara keseluruhannya, semua murid yang ditemu bual menyatakan perasaan suka, seronok, gembira dan lebih bersemangat untuk belajar dengan pelaksanaan teknik permainan Detektif Sains dalam pembelajaran. Hal ini menujukkan bahawa teknik ini telah berjaya meningkatkan minat murid semasa belajar topik Sifat Bahan. Secara keseluruhannya, dapatan daripada ketiga-tiga kaedah pengumpulan data yang telah dilaksanakan menunjukkan bahawa penggunaan teknik Permainan Detektif Sains telah membantu meningkatkan kefahaman dan minat murid tahun 4 dalam topik Sifat Bahan. Dapatan ini disokong oleh Frobose (2008) yang menyatakan bahawa suasana pembelajaran yang positif semasa bermain membantu murid memahami isi pelajaran dengan lebih baik. Selain itu, Avedon (seperti yang dinyatakan dalam Mubaslat, 2012) juga menyokong dapatan kajian ini dengan menyatakan bahawa murid secara semulajadi akan lebih berminat untuk melibatkan diri dan bersaing semasa bermain. Kesimpulannya, melalui penggunaan teknik permainan Detektif Sains, murid dapat meningkatkan kefahaman dan minat dalam topik Sifat Bahan. Langkah SeterusnyaPenyelidikan ini boleh diteruskan lagi dengan dengan mengubah konsep permainan stesen bergilir kepada permainan stesen yang berkonsepkan amazing race. Konsep permainan ini akan mewujudkan persaingan yang lebih menarik antara kumpulan kerana kumpulan yang paling pantas menyelesaikan sesuatu tugasan atau masalah boleh bergerak ke stesen seterusnya dengan bebas. Bagi mengaplikasikan konsep permainan ini, jumlah stesen boleh ditambah supaya pertembungan antara kumpulan pada stesen yang sama dapat dielakkan. Selain itu, teknik permainan ini boleh digunakan untuk mengajar 2 atau lebih subtopik pada masa yang sama. Setiap stesen mempunyai aktiviti yang berfokus kepada subtopik yang berbeza dan murid boleh mempelajari beberapa subtopik dalam satu pusingan permainan yang sama. Namun kaedah ini harus disesuaikan dengan tahap murid yang terlibat. Bagi murid yang berpencapaian tinggi, kaedah ini sesuai dilaksanakan bagi memendekkan tempoh pengajaran bagi sesuatu subtopik selain memudahkan murid untuk melihat perkaitan antara beberapa subtopik yang dipelajari dengan lebih jelas. Teknik permainan Detektif Sains juga boleh diintegrasikan dengan pendekatan berasaskan multimedia. Oleh kerana teknik permainan ini berbentuk stesen, guru mungkin menghadapi kekangan untuk menyediakan bahan yang banyak secara serentak. Kekangan ini boleh diatasi dengan memasukkan elemen ICT bagi meminimumkan penggunaan bahan selain mempelbagaikan pendekatan yang digunakan dalam permainan ini. Sebagai contoh, jika terdapat 2 jenis ujikaji yang perlu dilakukan oleh murid dalam satu sesi permainan, salah satu ujikaji boleh digantikan dengan ujikaji berbentuk media interaktif.Bagi memenuhi minat murid yang berbeza, tajuk permainan ini boleh diubah berdasarkan kecenderungan murid yang terlibat. Dengan menggunakan corak permainan yang sama iaitu murid menyelesaikan sesuatu tugasan di setiap stesen untuk mengetahui kesinambungan cerita misteri yang diberikan, guru boleh mengubah tajuk permainan dan tema cerita yang digunakan mengikut minat murid. Sebagai contoh, cerita yang digunakan dalam permainan ini boleh ditukar kepada cerita bertemakan doktor atau guru mengikut kesesuaian.

RujukanAbbott, S. (2014). The glossary of education reform. Diperoleh dari http://edglossary.org/hidden- curriculumAbdul Said Ambotang. (2013). Cabaran transformasi agenda pendidikan negara. Diperoleh dari http://eprints.ums.edu.my/5925/1/nc0000002802.pdfEe, A. M. (2006). Penilaian tahap kecekapan (PTK) . Shah Alam : Percetakan Polygraphic.Frobose, J. K. (2008). Learning through play- a childs job. Diperoleh dari http:// www.ext.colostate. edu/pubs/columncc/cc010309.htmMohamad Abdillah Royo, & Haleefa Mahmood. (2011). Faktor-faktor kelemahan yang mempengaruhi pencapaian cemerlang dalam mata pelajaran reka cipta. Jurnal Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, 2, 145-174. Mubaslat, M. M. (2012). The effect of using educational games on the students achievement in english language for the primary stage. Diperoleh dari http://files.eric. ed.gov/fulltext/ED529467.pdfSazali Kenit. (2007). Faktor-faktor kekangan yang mempengaruhi pencapaian pelajar dalam mata pelajaran lukisan kejuruteraan di lima buah sekolah menengah akademik harian di daerah Johor Bahru. (Tesis Sarjana Muda tidak diterbitkan), Universiti Teknologi Malaysia.Vickerius, M., & Sandberg, A. (2006). The significance of play and the environment around play. Journal of early child development and care, 176, 207217.Zakiah Mohamad Ashari, Azlina Mohd Kosnin, & Yeo, K. J. ( 2012). Keperluan aktiviti bermain dan kepentingannya terhadap motivasi kanak-kanak prasekolah. Diperoleh dari http://www.fb.utm.my/ePusatSumber/listseminar/medc2012/pdf/81.pdf

Recommended

View more >