Si Tikus Dan Si Mondok

• Published on
17-Oct-2015

• View
12

• Download
0

Embed Size (px)

DESCRIPTION

c

Transcript

Dalam hutan di pinggir sebuah desa, tinggal sekeluarga tikus. Keluarga tikus itu diketuai oleh seekor tikus jantan bernama Si Mukus.

Tidak berapa jauh dari pinggir desa itu, terdapat sebuah rumah orang kaya. Di dalam rumah itu, terdapat sekeluarga tikus. Ketua keluarga tikus itu, juga seekor tikus jantan, bernama Si Mondok.

Si Mukus yang tinggal dalam hutan di pinggir desa itu, hidup bahagia bersama-sama dengan tikus lain. Mereka mudah mencari makanan.

Apabila tiba musim buah-buahan, mereka dapat mencari buah-buahan yang luruh. Malah, mereka dapat mencari saki-baki buah-buahan yang jatuh ke tanah selepas dimakan oleh tupai dan burung.

Apabila musim padi masak, mereka pergi ke sawah untuk mencari makanan. Mereka dapat makan padi dengan sekenyang-kenyangnya.

Apabila musim buah-buahan dan padi masak sudah habis, mereka masih dapat mencari makanan lain di dalam hutan itu. Terdapat pelbagai jenis tumbuhan dan buah-buahan tidak bermusim di situ. Pendek kata, rezeki mereka sungguh mewah.

Si Mondok yang tinggal di dalam rumah orang kaya itu juga hidup mewah. Terdapat pelbagai jenis makanan yang lazat-lazat di dalam rumah itu. Si Mondok selalu mengambil peluang untuk mencari makanan tersebut. Si Mondok memang sangat pintar mencuri makanan.

Apabila keluarga orang kaya itu sudah tidur, Si Mondok akan merangkak perlahan-lahan untuk mencari dan mencuri makanan. Pendek kata, Si Mondok selalu berjaya mencuri apa sahaja makanan yang terdapat dalam rumah itu. Jarang benar Si Mondok gagal mencuri makanan tersebut.

Cuma satu sahaja masalah yang sering dihadapi oleh Si Mondok, iaitu harus sentiasa berhati-hati. Hal ini demikian kerana di dalam rumah orang kaya itu terdapat seekor kucing jantan.

Namun, kucing jantan itu selalunya malas mengejar tikus kerana badannya gemuk. Oleh itu, setiap malam kucing jantan yang pemalas itu selalu tidur sahaja. Hanya sekali-sekala sahaja kucing jantan cuba mengejar Si Mondok. Namun, Si Mondok berjaya melarikan dirinya.

Suatu hari, Si Mondok keluar bersiar-siar. Si Mondok hendak ambil angin sambil menikmati keindahan pemandangan hutan dan sawah. Semasa sedang bersiar-siar di pinggir desa, Si Mondok bertemu dengan Si Mukus.

"Apa khabar?" Si Mukus bertanya.

"Khabar baik!" jawab Si Mondok.

"Awak datang dari mana?" Si Mukus bertanya lagi kerana Si Mukus tahu Si Mondok bukan berasal dari hutan itu.

"Oh, saya tinggal di rumah orang kaya!" Si Mondok menjawab dengan perasaan bangga.

Semenjak itu, Si Mondok selalu berkunjung ke tempat itu. Persahabatannya dengan Si Mukus semakin akrab. Setiap kali Si Mondok datang, tiadalah Si Mondok lupa membawa pelbagai jenis makanan yang lazat-lazat untuk Si Mukus.

Malah, semua tikus lain di dalam hutan itu turut berasa gembira apabila Si Mondok datang. Mereka dapat turut menikmati makanan yang lazat-lazat itu.

"Beruntunglah awak, Mondok, tinggal di rumah orang kaya!" kata Si Mukus kepada Si Mondok.

"Rumah tempat awak tinggal itu tentu besar dan cantik. Tempat tinggal awak terselamat daripada panas dan hujan," ujar tikus lain pula.

Si Mondok berasa sangat bangga apabila mendengar kata-kata pujian itu.

"Dalam hutan tempat tinggal kami ini, tidak ada makanan yang lazat-lazat seperti itu. Kalau hujan, kami semua basah kuyup," kata Si Mukus.

"Kami asyik makan padi dan beberapa jenis buahan saja," tikus lain menyampuk.

"Oh, saya selalu makan buah epal dan strawberi!" kata Si Mondok dengan perasaan bangga.

Suatu hari, Si Mondok mengajak Si Mukus pergi ke rumah tempat tinggalnya. Beberapa ekor tikus lain turut diajak oleh Si Mondok. Si Mondok begitu bangga ingin menunjuk-nunjuk kemewahan tempat tinggalnya kepada semua tikus hutan itu.

"Kamu semua akan dapat lihat betapa besar rumah tempat tinggalku. Halamannya luas dan penuh dengan bunga yang cantik," kata Si Mondok kepada semua tikus itu semasa dalam perjalanan.

"Aku akan jamu kamu semua dengan makanan yang lazat-lazat," ujar Si Mondok lagi.

Semua tikus itu menelan air liur apabila mendengar Si Mondok menyebut tentang makanan yang lazat-lazat.

Tidak lama kemudian, tibalah mereka di tempat tinggal Si Mondok. Mereka kagum melihat betapa besar dan cantiknya tempat tinggal Si Mondok.

"Wah, cantiknya rumah tempat tinggal awak!" kata Si Mukus. Si Mondok berdiam diri sahaja. Namun, hatinya berasa amat bangga mendengar pujian daripada Si Mukus.

Si Mondok mengajak semua tikus itu masuk ke dalam rumah tersebut. "Berjalan dengan berhati-hati! Jangan sampai terserempak dengan tuan rumah!" Si Mondok berpesan.

Mereka berjalan perlahan-lahan. Akhirnya, mereka sampai di tempat tinggal Si Mondok dalam rumah itu.

Lamalah mereka berehat di situ. Setelah agak lama, salah seekor tikus itu bersuara, "Mana makanan yang lazat-lazat?" Tikus itu berasa sudah tidak sabar lagi hendak makan kuih-muih yang lazat-lazat.

"Saya sudah berasa sangat lapar," kata tikus itu lagi.

Si Mondok berasa serba salah apabila mendengar kata-kata itu.

Akhirnya, Si Mondok memberitahu, "Tunggulah sehingga malam tiba."

Semua tikus itu berasa hairan apabila mendengar Si Mondok berkata begitu, "Mengapakah harus tunggu sehingga malam tiba?"

"Apabila tuan rumah sudah tidur, aku akan pergi mencuri makanan yang lazat-lazat untuk kamu semua," jelas Si Mondok.

"Mencuri?" semua tikus itu bertanya demikian kerana berasa hairan.

"Ya!" jawab Si Mondok.

"Jikalau tuan rumah belum tidur, aku tidak boleh pergi mencuri makanan. Bahaya! Kalau aku tertangkap, tentulah mati!" jawab Si Mondok lagi.

Semua tikus itu berdiam diri setelah mendengar penjelasan daripada Si Mondok. Namun, apa boleh buat? Terpaksalah mereka menunggu malam tiba, meskipun mereka berasa sudah tersangat lapar.

"Di dalam hutan tempat tinggal kami, kami tidak perlu menunggu sehingga hari malam untuk makan. Kami juga tidak perlu mencuri untuk makan," Si Mukus berkata kepada Si Mondok.

Si Mondok berdiam diri sahaja apabila mendengar kata-kata Si Mukus itu. Si Mondok berasa sangat malu pada Si Mukus.

Setelah lama menunggu, akhirnya malam pun tiba. Namun, mereka terpaksa menunggu lagi. Mereka melihat keluarga orang kaya itu makan makanan yang lazat-lazat. Mereka menelan air liur kerana terliur melihat makanan yang lazat itu.

"Bila kita hendak makan?" tanya Si Mukus.

"Kawan-kawanku sudah lapar," ujar Si Mukus lagi.

"Tunggulah! Kita mesti tunggu sehingga tuan rumahmasuk tidur," jawab Si Mondok.

Terpaksalah mereka menunggu lagi dengan perut yang lapar.

Setelah tengah malam, keluarga orang kaya itu masuk tidur.

"Sekarang kita boleh pergi mencari dan mencuri makanan!" Si Mondok memberitahu.

Oleh sebab perut sudah tersangat lapar, Si Mukus dan kawan-kawannya terpaksalah mengikuti Si Mondok untuk pergi mencuri makanan.

"Jikalau tidak mengikuti Si Mondok, tentulah sakit perutku menahan lapar!" kata Si Mukus dalam hatinya.

Mahu tidak mahu, Si Mukus dan kawan-kawannya terpaksa mengikuti Si Mondok untuk pergi mencari dan mencuri makanan.

"Mengapa pula tiada makanan?" Si Mukus bertanya.

"Entahlah! Agaknya semua makanan malam ini sudah habis dimakan oleh tuan rumah," jawab Si Mondok dengan perasaan malu.

Semua tikus itu berasa sangat hampa kerana tidak menemui sebarang makanan.

Si Mondok benar-benar berasa sangat malu. Namun, apakan dayanya! Si Mondok tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Si Mondok sendiri turut berasa tersangat lapar.

Tiba-tiba terdengar suara Si Mondok bertempik kuat, "Lari! Lari!"

Si Mondok menjerit sambil melarikan diri. Semua tikus itu bertempiaran melarikan diri. Si Mukus turut melarikan diri dengan perasaan cemas.

Mereka melihat seekor kucing berbadan besar dan gemuk datang. Kucing itu cuba menangkap mereka. Namun, mujurlah mereka bernasib baik. Mereka sempat lari untuk menyelamatkan diri.

Mereka tercungap-cungap keletihan ketika tiba di sarang Si Mondok. Dua tiga ekor kawan Si Mukus pengsan di dalam sarang itu akibat peristiwa cemas tadi.

"Mujurlah kita semua terselamat! Kalau tidak tentulah kita sudah menjadi mangsa kucing tadi," ujar Si Mukus.

Si Mondok tidak berkata apa-apa. Si Mondok berasa sangat malu kepada Si Mukus, Oleh itu, Si Mondok berdiam diri sahaja.

Malam itu, mereka tidur dengan perut kelaparan.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi, Si Mukus memberitahu Si Mondok bahawa ia dan kawan-kawan mahu pulang ke hutan.

"Mengapa begitu cepat mahu pulang?" Si Mondok bertanya.

"Tidak mengapalah! Biarlah kami pulang sahaja," jawab Si Mukus.

"Tunggulah untuk bermalam lagi di sini! Malam ini mungkin kita akan dapat mencari makanan yang lazat-lazat," ujar Si Mondok lagi.

Tetapi Si Mukus menjawab, "Biarlah kami tetap tinggal di dalam hutan. Meskipun kami miskin, namun kami hidup bahagia dan selamat. Meskipun kami tidak mempunyai makanan yang lazat, namun kami mudah mencari makanan."

Terdiamlah Si Mondok mendengar kata-kata Si Mukus.

Si Mondok berasa tersangat malu kepada sahabatnya itu. Si Mondok tahu, tiada gunanya tinggal di tempat mewah, jika hidup tidak bahagia. Lebih-lebih lagi kerana hidup di situ memang tidak terjamin selamat.

"Alangkah malunya aku kerana hidup ingin menunjuk-nunjuk kaya dan mewah," ujar Si Mondok dalam hatinya.

Si Mukus dan kawan-kawannya segera meninggalkan rumah orang kaya itu. Mereka pulang ke hutan semula, tempat mereka hidup bahagia dan selamat.

PAGE 18